I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday 2 February 2012

LATIHAN 2- KARANGAN AUTOBIOGRAFI

AKU SEBUAH JAM

A. Baca dan fahamkan petikan di bawah ini.

Aku berasal dari Osaka, Jepun. Aku bernama Seiko. Aku dilahirkan di sebuah kilang. Aku menemui rakan-rakan yang sebaya denganku di sini. Setelah beberapa hari aku dilahirkan , aku dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Rakan-rakanku yang lain dimasukkan ke dalam kotak yang lain. Maka berpisahlah aku dengan rakan-rakanku. Aku dan rakan-rakanku dihantar ke pelabuhan dengan sebuah van. Kami akan dihantar ke sebuah negara yang bernama Malaysia.

Setelah sekian lama, kami pun sampai di Pelabuhan Kelang, Malaysia. Dari pelabuhan itu, kami telah dihantar ke sebuah kedai jam. Aku dan kawan-kawanku dipamerkan di kedai itu dalam sebuah almari kaca. Orang ramai yang lalu di kedai itu melihat-lihat kami. Setelah beberapa hari, datanglah seorang lelaki dan anaknya. Lelaki itu hendak membeli jam sebagai hadiah hari jadi anaknya. Anak lelakinya tertarik dengan dua belah tanganku yang cantik. Dia juga suka melihat mukaku yang berwarna hitam. Begitu juga dengan dua belas mataku yang terukir unik. Bapanya bersetuju membeli aku.

Mulai hari itu, budak lelaki itu menjadi tuan aku. Dia membawa aku ke mana-mana sahaja. Rakan-rakannya di sekolah juga tertarik dengan rekaanku yang unik. Tuan aku ini lasak orangnya. Dia membawa aku semasa bermain bola di padang. Semasa dia mendaki gunung, aku turut dibawa. Kadang-kadang badanku tercalar. Aku terasa amat sakit. Tuan aku tidak pernah merawat calar-calar yang terdapat pada badanku. Mujurlah kedua-dua tanganku masih boleh bergerak dengan baik. Mukaku juga pernah dimasuki air ketika aku dibawa mandi dalam air masin.


Suatu hari, tuan aku pergi mendaki gunung lagi. Dia tidak menyedari yang tali pada badanku telah hampir putus. Sedang dia mendaki gunung, tiba-tiba aku terlepas dari tangannya. Aku terjatuh ke dalam gaung dan terhempas di atas batu. Badanku pecah dan hampir berderai. Kedua-dua tanganku pergi entah ke mana. Tuan aku hanya memandang ke bawah. Dia sedikit pun tidak mempedulikan aku. Dia terus mendaki gunung. Lalu berakhirlah riwayatku sebagai sebuah jam tangan.



B. Beri maksud perkataan-perkataan berikut :
1. Berasal 4. Rekaan
2. Berpisah 5. Tercalar
3. Tertarik 6. Merawat


C. Jawab soalan-soalan pemahaman di bawah berdasarkan petikan
yang diberikan.

1. Apakah yang terjadi sebelum ‘aku’ berpisah dengan kawankawannya semasa di kilang ?
2. Ke manakah jam tangan dihantar setelah sampai di
Pelabuhan Kelang ?
3. Bagaimanakah rupa jam tangan itu ?
4. Bagaimanakah sikap tuan punya jam tangan ?
5. Bagaimanakah berakhirnya riwayat jam tangan itu

No comments:

Post a Comment